AGENDAGLOBAL

Insiden berbalas tembakan di Selatan Thailand, dua terbunuh

NARATHIWAT, 13 JAN: Dua maut, termasuk seorang anggota militan dan 11 lagi anggota sukarelawan cedera dalam insiden berbalas tembakan di Rom Sai, Daerah Sukhirin, Narathiwat, selatan Thailand semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengahari (waktu tempatan) hari ini, Pos Kawalan Mukim Rom Sai telah diserang sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai anggota militan.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Wilayah Sukhirin Kpt. Pol. Athit Makmuang berkata kumpulan itu telah melepaskan tembakan dan melontar bom paip ke arah pos kawalan mukim dan menyebabkan dua anggota sukarelawan cedera.

Beliau berkata sebutir bom buatan sendiri telah diletupkan di tepi jalan apabila pasukan tentera, polis dan anggota sukarelawan yang dalam perjalanan menjejaki anggota kumpulan itu.

“Insiden berbalas tembakan telah berlaku antara kumpulan militan dan pasukan keselamatan kira-kira 20 minit di tempat kejadian.

“Seorang anggota militan dan seorang anggota sukarelawan ditemui maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Athit berkata usaha dipergiat untuk menjejaki suspek yang terlibat dalam inisiden berbalas tembakan.

-BERNAMA


Pengarang :