Kapal Diraja Keris (KD Keris) dijangka tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Januari 2020. Foto Bernama.com
AGENDANASIONAL

KD Keris dijangka tiba di Malaysia pada 17 Januari

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Kapal Misi Pesisir (LMS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Kapal Diraja Keris (KD Keris) dijangka tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah dari China pada 17 Januari ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, TLDM memaklumkan bahawa kapal berkenaan dijadual memulakan pelayaran ke Malaysia pada Rabu ini (8 Januari).

“Upacara penyerahan fizikal KD KERIS kepada kerajaan Malaysia telah disempurnakan oleh Jawatankuasa Penerimaan Akhir diketuai oleh Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Pertahanan, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman pada 31 Disember, 2019,” menurut kenyataan itu.

KD Keris telah ditauliah dalam satu upacara yang penuh istiadat serta tradisi oleh Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany di Shanghai, China hari ini.

“Mohd Reza membacakan perintah pentauliahan sebagai simbolik kepada pentauliahan kapal serta memakaikan insignia pemerintahan kepada Pegawai Memerintah Pertama KD KERIS iaitu Komander Mohd Zulkarnain Mohd Rawi,” demikian menurut kenyataan itu.

KD KERIS mula dibina pada 31 Julai 2018 di Wuhan, China dan dilancarkan oleh Normah Alwi, isteri Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada 15 April, 2019.

Menurut kenyataan itu lagi, LMS adalah sebuah daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada 15 ke-5 TLDM.

Kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai antara Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac, 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Projek ini adalah projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China dengan kapal kedua iaitu Sundang dijadual diserahkan pada April 2020 manakala kapal ketiga dan keempat dijadual diserahkan pada pertengahan 2021.

-BERNAMA


Pengarang :