AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Majikan degil diberi tempoh sepanjang Februari untuk mendaftar

SHAH ALAM, 31 JAN: Majikan di seluruh negara diberi tempoh sehingga 29 Februari ini untuk mendaftar secara sukarela dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum tindakan undang-undang diambil.

Pengarah Perkeso Selangor Mustafa Draman berkata majikan yang gagal berbuat demikian bakal didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sekiranya masih gagal mendaftar, majikan akan berhadapan tindakan undang-undang menerusi Op Kesan yang dilancarkan mulai 1 Mac depan,” katanya dalam kenyataan.

Mustafa turut mengingatkan majikan supaya mendaftarkan pekerja asing dengan Perkeso yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Ketika ini kami bertanggungjawab untuk menguatkuasakan tiga akta iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), semua majikan yang mempunyai lebih dari seorang pekerja dikehendaki mendaftar dengan Perkeso di bawah kedua-dua akta berkenaan,” katanya.

Setakat 31 Disember tahun lalu, seramai 672,728 majikan aktif berdaftar mengikut Akta 4 dengan 8.14 juta pekerja mendapat perlindungan Perkeso, termasuk 1.23 juta pekerja asing yang mula mendapat faedah itu sejak Januari 2019.


Pengarang :