Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyampaikan bantuan kepada pelajar Foto Oleh: CSR MBI
AGENSISELANGOR

MBI peruntuk RM1.68 juta bantu 16,800 pelajar

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor memperuntukkan RM1.68 juta pada 2020 bagi membantu 16,800 pelajar kurang berkemampuan.

Ketua Pegawai Bisnes Amal MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali Al-Hafiz berkata ia bagi mempertingkatkan prestasi pelajar serta memberi dorongan kepada ibu bapa dan keluarga memperkasa tahap pendidikan.

“Program Kembali Ke Sekolah dilaksanakan MBI sudah bermula pada 2017 membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun dengan menerima bantuan tunai, kelengkapan pakaian, beg atau alatan tulis bernilai RM100.

“Pada 2018, MBI membantu 8,400 pelajar dengan peruntukan RM1.7 juta. Pada tahun ini, kita meneruskan program ini dengan peruntukan RM1.68 juta untuk 56 Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Jaafarudin berkata pemilihan penerima berdasarkan kriteria ditetapkan iaitu golongan asnaf dan golongan miskin tegar di bawah B40.

“Seramai 300 pelajar dari setiap DUN dipilih. Kita serahkan kepada pejabat DUN sendiri untuk mencari murid memerlukan dalam membantu memulakan sesi persekolahan.

“MBI komited program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dizahirkan supaya keuntungan perniagaan dapat diterjemah dalam bentuk kepedulian kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :