Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Khalid Ibrahim menunjukkan poster larangan merokok yang baharu ketika Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) di Sungai Chua, Kajang pada 2 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Operasi larangan merokok di Selangor, kompaun RM103,850 dikeluarkan

SHAH ALAM, 11 JAN: Sebanyak 432 notis kompaun bernilai RM103,850 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sepanjang tempoh sembilan hari pelaksanaan operasi larangan merokok di 2,638 premis makanan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, Pengarahnya, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata 315 notis dengan nilai kompaun RM78,750 dikeluarkan kepada mereka yang merokok di tempat makan.

Manakala 22 notis membabitkan perokok berusia bawah 18 tahun dengan lapan daripadanya didapati bersalah kerana memiliki rokok elektronik.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (pindaan 2018),” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 96 notis bernilai RM24,000 terhadap pemilik premis di bawah Peraturan 12 (1)(a) dan 12 (1)(b) PPKHT 2004.

“Jumlah 90 lagi notis dikeluarkan kerana premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok secara jelas dan selebihnya atas kesalahan menyediakan kemudahan untuk merokok,” katanya.

Katanya, mereka yang menerima notis kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun RM250 bagi orang dewasa manakala bagi mereka yang belum cukup umur RM50.

“Kesalahan pertama boleh dikurangkan kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh kompau. Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun.

“Kompaun lebih tinggi RM350 dikenakan bagi kesalahan kali ketiga jika berlaku dalam tempoh Januari hingga Jun ini dan tiada tawaran kompaun mulai Julai, sebaliknya tindakan pendakwaan akan diambil,” katanya


Pengarang :