Sebahagian pempamer yang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2017 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2017. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pilih KLCC, Sidang Perniagaan Antarabangsa Selangor tingkat mutu penganjuran

KLANG, 11 JAN: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Oktober ini mengorak langkah negeri ke arah hab perdagangan antarabangsa.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan berkata pemilihan lokasi terkenal mampu meningkatkan mutu dan taraf penganjuran sidang tahunan itu.

“Dengan menetapkan KLCC sebagai lokasi, ini membuktikan mutu dan taraf SIBS sebagai ekspo terbesar dan terkenal di Malaysia dikekalkan dan akan terus mengorak langkah di arena antarabangsa dalam bidang komersial,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Dato’ Teng Chang Khim. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada Program Penyerahan Baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di Econsave Klang Parade hari ini.

Katanya Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Selangor Smart City dan Ekonomi Digital, Ekspo Kajian Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi Selangor serta Persidangan Antarabangsa Selangor-Asean juga dikekalkan.

Chang Khim berkata menerusi program itu, pihaknya akan menjemput lebih ramai tokoh dan bekas pemimpin negara untuk berkongsi pengalaman selain menumpukan teknologi kecerdasan buatan.

“Pada tahun lalu, seramai 149 pembeli antarabangsa direkodkan berbanding 20 pada 2018. Justeru, kita merancang untuk menambah bilangan itu supaya kita menjadi pasaran utama arena ini,” katanya.

SIBS tahun ini akan diadakan bermula 14 hingga 17 Oktober.


Pengarang :