EXCOSELANGOR

Sambutan perayaan peluang kenali pelbagai budaya

SHAH ALAM, 25 JAN: Kepelbagaian sambutan perayaan di negara ini membolehkan rakyat lebih mengenali budaya masyarakat berbilang kaum, kata EXCO perumahan dan kehidupan bandar.

Haniza Talha berkata ia sekali gus membolehkan jati diri masyarakat Malaysia dipupuk dengan budaya saling menghormati antara satu sama lain.

“Sasterawan Negara Usman Awang di dalam puisinya bertajuk ‘Pemuda dan gadis Tionghua’ menyebut, ‘Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa’.

“Oleh itu marilah kita raikan kepelbagaian kaum dan budaya ini dengan penuh kesyukuran, kerendahan hati dan saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Haniza berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kesemua polisi dilaksana dapat menambah baik kualiti kehidupan rakyat tanpa melihat perbezaan latar belakang kaum mahupun agama.

“Marilah kita berganding tangan serta bahu menuju kembali ke arah keharmonian yang sebenarnya dan ikhlas daripada sanubari setiap jiwa rakyat Malaysia,” katanya.


Pengarang :