EKONOMINASIONAL

Kamarudin, Tony Fernandes lepas jawatan eksekutif AirAsia

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd (AAGB) Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam kumpulan, berkuat kuasa serta merta, berikutan siasatan rasuah Airbus.

Syarikat penerbangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata pelepasan itu akan berjalan untuk tempoh dua bulan atau satu tempoh lain yang dianggap sesuai.

Berikutan keadaan ekonomi semasa dihadapi industri syarikat penerbangan, sebuah Jawatankuasa Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif yang ditubuhkan oleh Lembaga Pengarah AAGB memutuskan mengekalkan mereka sebagai penasihat kepada syarikat dalam tempoh dua bulan tersebut.

Jawatankuasa ini dianggotai oleh ahli bukan eksekutif lembaga pengarah syarikat penerbangan itu.

“Berdasarkan kepada cadangan jawatankuasa berkenaan, Tharumalingam Kanagalingam dilantik sebagai pemangku interim Ketua Pegawai Eksekutif AAGB,” katanya.

Kamarudin dan Tony Fernandes akan dilantik semula sebagai ahli lembaga pengarah bukan bebas bukan eksekutif AAGB.

AAGB dan AirAsia X Bhd menjunam dalam perdagangan aktif selepas laporan mengenai siasatan rasuah itu timbul.

Pada jam 5 petang, AirAsia Group susut 15 sen atau 10.49 peratus kepada RM1.28 dengan 57.67 juta saham bertukar tangan, manakala AirAsia X merosot satu sen atau 7.69 peratus kepada 12 sen dengan 32.97 juta saham diniagakan.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam berkata ia akan meneliti kenyataan fakta dalam kes Regina menentang Airbus SE yang mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

AirAsia menerusi kenyataannya pada Sabtu lepas, menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan berkata ia tidak pernah terlibat dalam mana-mana siasatan Serious Fraud Office United Kingdom (SFO) mengenai Airbus atau diberikan sebarang peluang untuk menyediakan sebarang maklumat atau penjelasan kepada SFO.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah memulakan siasatan terhadap dakwaan ke atas kedua-dua syarikat itu dengan menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom.

-BERNAMA


Pengarang :