Aksi ceria dua orang pesakit di bawah pengawasan (patient under surveillance) ketika proses keluar dari Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 18 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perkasa keupayaan hospital kesan jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Dalam usaha menangani jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19), lebih banyak hospital dan klinik kesihatan kerajaan terutamanya di luar bandar perlu diperkasakan keupayaannya untuk mengesan jangkitan, sekali gus mempercepatkan tapisan kesihatan.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata tindakan itu boleh dilakukan dengan membekalkan kemudahan ujian pengesanan dan pengesahan Covid-19.

“Kita sekarang ini memfokuskan kepada bandar besar dan utama. Tetapi pesakit boleh muncul dari pekan terpencil. Doktor perlu menghantar sampel ke makmal terpilih dan menunggu keputusan.

“Pada masa sama pesakit boleh terus menjangkiti orang lain, termasuk doktor yang memberi rawatan awal. Jadi kalau ujian (kemudahan ujian) itu dapat dibekalkan kepada semua, cepatlah pengesanan agen jangkitan dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), setakat 16 Februari lalu, terdapat 18 makmal kesihatan awam bagi menjalankan ujian pengesanan Covid-19 di Malaysia, termasuk Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Makmal Kesihatan Awam Kota Bharu, Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

Selain itu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Pulau Pinang; Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban; Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru; Hospital Umum Sarawak; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Melaka.

Sementara itu, Pakar Klinikal Virologi IMR Dr Rozainanee Mohd Zain berkata jumlah hospital dan makmal kesihatan awam dengan kemudahan ujian Covid-19 itu mampu memenuhi keperluan situasi penularan virus itu di Malaysia, ketika ini.

Jelas Dr Rozainanee, Unit Virologi IMR telah melatih hospital dan makmal kesihatan awam terbabit bagi meningkatkan kapasiti makmal dalam menjalankan ujian tersebut.

“Secara keseluruhan, hospital dan makmal ini pernah dilatih untuk menjalankan ujian pengesahan bagi virus lain sebelum ini. KKM sentiasa memantau kes positif Covid-19 dan mengambil kira semua aspek termasuk kapasiti menjalankan ujian pengesahan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :