Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama tetamu menggaul ‘Yi Sang’ ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Tua di Kampung Selayang Baru, Batu Caves pada 21 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Terap integriti dan telus laksana projek rakyat

GOMBAK, 21 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) menerapkan konsep ketelusan dan integriti sebelum sesuatu projek dilaksanakan demi kepentingan rakyat, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ia bagi membolehkan rancangan pembangunan pada negeri dan negara menjadi lebih seimbang serta tidak mendatangkan kerosakan.

“Untuk itu barisan kepimpinan di peringkat Persekutuan terpaksa mengambil tempoh sekurang-kurangnya dua tahun supaya pendekatan ini menjadi dasar negara.

“Inilah cara kita melaksanakan program untuk rakyat, kena ada peraturan dan prosedur,” katanya ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Selayang Baru di sini malam ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (kiri) menyampaikan sumbangan ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Tua di Kampung Selayang Baru, Batu Caves pada 21 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Hadir sama Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dato’ Abd Hamid Hussain dan Ketua Whip Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang Amir Fazlee Khalid.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut mengajak kaum Cina bersama memakmurkan Selangor seiring dengan tahun tikus bagi kalendar masyarakat berkenaan.

“Zodiak tikus adalah lambang haiwan yang rajin, oleh itu mari kita sama-sama bekerja supaya tahun ini kita ada ‘ong’,” katanya.

Pada majlis berkenaan, YDP Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad turut menyerahkan sumbangan kepada warga emas.


Pengarang :