Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan Covid-19 pada 12 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

79 warga Malaysia terkandas di Songkhla dibenar pulang

SONGKHLA, 29 MAC: Seramai 79 warga Malaysia yang terkandas di selatan Thailand dibenarkan pulang ke tanah air hari ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid.

Beliau berkata Gabenor Wilayah Songkhla, Jaruwat Kliangklao, telah memberi kebenaran agar kumpulan rakyat Malaysia yang sedang melancong dan melawat ahli keluarga di selatan negara itu dibenarkan keluar dari Thailand.

“Mereka dibenarkan keluar melalui pintu sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam bermula 3 petang (waktu tempatan) hari ini sehingga 9.30 malam esok,” katanya kepada Bernama.

Bermula Isnin lalu, kerajaan Thailand telah menutup semua sembilan pintu sempadan dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Selain sembilan pintu sempadan dengan Malaysia, negara itu turut menutup sempadannya dengan negara jiran iaitu Laos, Kemboja dan Myanmar.

Sepanjang pelaksanaan penutupan sementara itu, semua warga Thailand dan warga asing tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk ke negara itu.

Muhammad Ridzuan berkata masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang terkandas di Narathiwat dan Yala.

“PIhak kami masih menunggu kebenaran dari gabenor di kedua-dua wilayah untuk memberi kebenaran untuk keluar dari negara itu,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan yang membantu membawa keluar rakyat Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :