AGENDASUKANKINI

Aksi Harimau Malaya mungkin ditunda susulan Covid-19

SHAH ALAM, 4 MAC: Aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini dan Jun mungkin ditunda susulan kebimbangan penularan Covid-19, kata setiausaha agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Datuk Windsor Paul John berkata pihaknya akan berbincang lanjut mengenai perkara itu bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), lapor Berita Harian.

“Setakat ini, AFC sudah berhubung dengan FIFA dan keputusan akan diketahui dalam masa terdekat.

“AFC perlu merujuk kepada FIFA sebelum membuat keputusan. Jika mahu mengadakan perlawanan di gelanggang lain juga perlu ada persetujuan beberapa pihak,” katanya.

Penundaan itu dijangka turut membabitkan skuad Harimau Malaya yang menghuni tangga kedua kumpulan G menentang Emeriah Arab Bersatu pada 26 Mac, Vietnam (31 Mac) dan Thailand (9 Jun).

Sebelum ini, AFC sudah memutuskan menunda beberapa perlawanan membabitkan aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang turut membabitkan Johor Darul Ta’zim.

Mengulas perkara sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sedia menerima sebarang keputusan yang akan dibuat AFC dan FIFA.


Pengarang :