Reaksi isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Bicara Rosmah: Dua beg `mungkin wang’ dihantar ke Seri Perdana

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau mengikut bekas pegawai khas kepada isteri bekas perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menghantar dua beg hitam yang ‘berkemungkinan berisi wang tunai’ ke Seri Perdana, Putrajaya sekitar Disember 2016.

Ahli perniagaan, Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin, 40, berkata beliau mengetahui kedua-dua beg itu berkemungkinan mengandungi wang selepas diberitahu oleh Rizal, namun saksi itu berkata Rizal tidak menyatakan berapa nilai wang berkenaan.

“Saya tidak tahu sama ada kedua-dua beg itu berisi wang tetapi pada fikiran saya kemungkinan kedua-dua beg itu berisi wang. Semasa itu juga saya bertanya kepada Datuk Rizal tujuan kami pergi ke Putrajaya dan Datuk Rizal memberitahu saya bahawa ‘nak bagi barang kepada mem’.

“Saya tidak bertanya kepada Datuk Rizal siapakah ‘mem’ yang beliau maksudkan kerana saya tahu ‘mem’ adalah merujuk kepada Datin Seri Rosmah (Mansor). Hal ini demikian kerana saya telah berkawan rapat dengan Datuk Rizal sejak tahun 2014 dan Datuk Rizal dalam perbualan kami, beliau sering menggunakan panggilan ‘mem’ apabila merujuk kepada Datin Seri Rosmah,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farizul Hassan Bakri.

Ahmed Farriq, yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari ke-11 perbicaraan kes rasuah Rosmah berkaitan projek solar hibrid di Sarawak.

Saksi itu berkata semasa tiba di Seri Perdana, dua ‘butler’ telah mengambil kedua-dua beg itu keluar dari bonet kereta serta membawanya masuk ke dalam kediaman rasmi perdana menteri itu (Seri Perdana) dan Rizal kemudian memberitahu beliau bahawa dia (Rizal) hendak berjumpa dengan ‘mem’ dan meminta saksi itu menunggu di dalam kereta.

“Lebih kurang 30 minit kemudian, Datuk Rizal keluar seorang diri tanpa membawa apa-apa dan saya juga tidak nampak kedua-dua beg itu lagi selepas itu. Datuk Rizal beritahu saya bahawa ‘dah settle’ dan beliau masuk ke dalam kereta,” katanya.

Terdahulu, bercerita lanjut mengenai kewujudan dua beg itu, Ahmed Farriq berkata Rizal mengajak beliau minum di sebuah kafe di Pavilion di sini, ketika waktu tengah hari, dan di sana Rizal ada memberitahunya bahawa dia (Rizal) sedang menunggu barang tetapi tidak menyatakan apakah barangan berkenaan selain memberitahu barang itu adalah untuk diberikan kepada individu bernama Lawrence.

Menurut saksi itu, beliau mengenali Lawrence kerana pernah bertemu individu berkenaan sebelum ini apabila beliau mengikut Rizal keluar minum dan beliau juga tahu Lawrence bekerja dengan Tan Sri Desmond Lim.

Ahmed Farriq berkata, selepas mendapat satu panggilan telefon Rizal mengajak beliau mengikutnya ke pejabat di Pavilion Tower, dan apabila sampai di lobi premis itu, beliau nampak ada dua atau tiga lelaki tidak dikenali keluar dari sebuah kereta di mana dua daripada mereka telah mengambil dua buah beg ‘luggage’ berwarna hitam dari dalam kereta serta terus masuk ke lif untuk naik ke atas.

Menurut saksi itu, kira-kira 20 minit kemudian, Rizal yang turut naik ke atas, turun dan memberitahu beliau ‘ada problem’ serta perlu menghantar kedua-dua beg itu ke Seri Perdana.

“Saya hanya bersetuju dan mengikut sahaja tanpa banyak soal. Saya tidak tahu kenapa kedua-dua beg itu perlu dihantar ke Seri Perdana. Ketika itu saya nampak Datuk Rizal tiba di lobi bersama dua lelaki yang memegang dua buah beg dan datang ke arah saya.

“Ketika itu juga, kereta Alphard yang dipandu oleh Arif (pemandu Rizal) tiba di depan lobi di mana saya dan Datuk Rizal telah masuk ke dalam kereta di bahagian penumpang sebelah belakang sementara dua lelaki yang membawa dua beg hitam tadi telah meletakkan kedua-dua beg itu ke dalam tempat simpanan barang atau bonet kereta dan selepas itu mereka beredar.

Setelah kedua-dua beg itu diletakkan di dalam bonet, secara tiba-tiba seorang lelaki telah masuk ke dalam kereta kami naiki dan terus duduk di bahagian penumpang di hadapan. Datuk Rizal ada memberitahu lelaki itu dikenali sebagai ‘Evo’ iaitu seorang polis,” katanya menambah lelaki itu (Evo) bertindak turun setibanya di luar pagar pejabat perdana menteri.

Ahmed Farriq berkata, Rizal tidak pernah menceritakan apa yang berlaku di Pavilion serta mengapa kedua-dua beg itu dihantar ke Seri Perdana kerana Rizal juga seorang yang amat berahsia terutama mengenai perkara melibatkan pekerjaannya.

Menurut saksi itu, yang menubuhkan sebuah yayasan iaitu Yayasan Perdana Ummah bersama-sama Rizal, beliau juga sehingga kini tidak boleh sahkan apakah kandungan kedua-dua beg itu kerana tidak pernah melihat isi kandungannya, walaupun Rizal pernah memberitahunya bahawa terdapat wang di dalam beg itu.

“Saya juga hanya mengetahui sedikit tentang projek solar hibrid di Sarawak kerana ada beberapa kali mengikut Datuk Rizal berjumpa Encik Saidi (Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd) dan Encik Rayyan (rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah).

“Namun begitu, saya tidak berapa selesa dengan Encik Rayyan dan Encik Saidi dan oleh demikian saya memutuskan untuk tidak mengambil tahu mengenai projek itu serta tidak mahu mendengar apa-apa tentang projek itu walaupun Datuk Rizal ada beberapa kali ingin berbual berkaitan projek itu,” katanya.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :