Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak membuat pembelian panik barangan keperluan asas berikutan penularan wabak Covid-19. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Jamin barang cukup, pasar raya disyor buat kuota

SHAH ALAM, 19 MAC: Semua pasar raya diminta menetapkan syarat had pembelian bagi memastikan bekalan kepada semua rakyat mencukupi, kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa).

Datuk Dr Jacob George berkata pembelian panik diamalkan segelintir orang menyebabkan individu lain sukar mendapatkan beberapa barang keperluan penting.

“Pasar raya boleh ketatkan syarat atau tetapkan kuota bagi memastikan semua pelanggan dapat membeli barang keperluan.

“Peranan mereka amat penting dan membantu kerajaan serta orang awam ketika berdepan wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam masa sama, Jacob turut menggalakkan orang ramai membuat pembelian barang secara atas talian.

Katanya, langkah itu akan membantu pengurangan kontak individu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Gunakan aplikasi yang ada. Pembelian atas talian lebih selamat selain kita mampu mengurangkan pembaziran masa. Jadilah pengguna bijak dan bertanggungjawab,” katanya.


Pengarang :