AGENDANASIONAL

KPDNHEP: Keadaan terkawal, tiada pembelian panik

SHAH ALAM, 30 MAC: Pemeriksaan khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap barangan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mendapati keadaan terkawal.

KPDNHEP menerusi hantaran Facebook memaklumkan antara premis terlibat dalam siasatan itu adalah pasar raya, peruncitan dan farmasi dengan pelanggan memberi kerjasama mempraktikkan jarak sosial tanpa pembelian panik.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa barangan yang mendapat permintaan tinggi iaitu ayam, ikan, sayur, telur, bawang, roti, beras, milo, sardin, biskut, mee segera dan tisu.

“Manakala, tinjauan di beberapa farmasi pula bekalan topeng muka masih tiada tetapi dijangka akan sampai dalam masa terdekat manakala cecair pembasmi kuman mula menunjukkan penambahbaikan,” kata kenyataan tersebut semalam.

Pada masa sama, ubat seperti Dettol disinfect, sarung tangan, vitamin C, tisu basah dan Panadol juga mendapat permintaan tinggi namun masih mencukupi.

Sementara itu, pemeriksaan di stesen minyak mendapati bekalan petrol dan diesel mencukupi serta terdapat juga stesen menjual barang keperluan utama seperti makanan.


Pengarang :