Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya di kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang pada 23 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Jumlah kes harian Covid-19 di Selangor turun, terus patuhi PKP

SHAH ALAM, 31 MAC: Jumlah kes baharu jangkitan Covid-19 di Selangor menurun 32 kes berbanding semalam yang merekodkan sebanyak 60 kes.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun menggesa orang ramai untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak tersebut.

“Alhamdulillah Selangor mencatatkan penurunan kes harian positif Covid-19 hari ini, namun kita harus terus berusaha mematuhi arahan PKP serta duduk di rumah. Kita mesti kalahkan wabak ini,” tulisnya melalui Twitter malam ini.

Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan 704 kes, angka tertinggi di Malaysia, diikuti Kuala Lumpur (430), Johor (349), Sabah (206), Perak (189) dan Negeri Sembilan (181).

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini memaklumkan jumlah kematian meningkat kepada 43 orang dengan 140 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 2,766 kes.

Seramai 94 orang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), sementara 537 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

 


Pengarang :