PBTSELANGOR

MPS: Bengkel kenderaan boleh beroperasi sehingga 3 petang

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hanya membenarkan bengkel kenderaan, motor atau tayar beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 3 petang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata yang dipertuanya.

Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pelarasan tindakan pihak berkuasa tempatan terbabit hari ini.

Katanya, berdasarkan arahan terbaharu Kerajaan Negeri, MPS juga menguatkuasakan rondaan serta mengarahkan peniaga di tepi jalan tanpa premis tetap menghentikan operasi.

“Semua kawasan rekreasi, taman awam, taman permainan MPS akan ditutup kepada orang awam bagi sebarang aktiviti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyeru orang ramai mematuhi arahan kerajaan untuk berada di rumah dan hanya keluar bagi urusan penting sepanjang tempoh perintah berakhir 31 Mac ini.

Individu gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.


Pengarang :