AGENDAJENAYAH

Pekerja pembersih ditahan bersama 30 kotak topeng milik hospital

KUANTAN, 30 MAC: Seorang pekerja syarikat pembersihan ditahan kerana disyaki mencuri 30 kotak topeng yang setiap satu berisi 50 keping, semuanya bernilai kira-kira RM3,000 milik Hospital Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Asisten Komisioner Polis Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai mencuri topeng itu dari stor sebuah wad di hospital pada tengah hari Jumaat lalu.

Katanya, kehilangan topeng itu disedari seorang jururawat bertugas pada 4 petang hari sama, apabila hanya lima kotak berada di rak, sedangkan kiraan pada pagi ialah 35 kotak topeng.

“Pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup di wad itu mendapati suspek yang memakai seragam sebuah syarikat berdaftar dengan Kementerian Kesihatan masuk ke stor pada 12.58 tengah hari.

“Suspek didapati keluar dari wad kira-kira dua minit kemudian dengan membawa satu plastik sampah berwarna hitam yang dipercayai mengandungi topeng tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azli berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak mempunyai keperluan masuk ke stor itu kerana bekerja di bahagian pembersihan.

Katanya, suspek ditahan di Kuala Lipis pada Sabtu lalu bersama topeng dan kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :