AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Penghantaran pelajar ke luar negara ditangguh

MANCHESTER, 19 MAC: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menangguhkan penghantaran pelajar ke luar negara pada ketika ini.

Ketika dihubungi melalui e-mel, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Rohayah Mohd Zain berkata keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira keadaan semasa dan isu penularan Covid-19 melanda dunia.

Mengulas mengenai pelajar Malaysia tajaan MARA di luar negara ketika ini, beliau berkata MARA memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, jabatan kesihatan, universiti, kedutaan, konsulat, pesuruhjaya tinggi Malaysia.

“Kami juga sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan Malaysia di negara-negara yang terdapat pelajar tajaan MARA,” katanya.

Di bawah Belanjawan Malaysia 2020, kerajaan telah memperuntukkan RM1.3 bilion bagi institusi pengajian di bawah MARA dan sebanyak RM2 bilion bagi membiayai pinjaman untuk 50,000 pelajar.

Setakat Mac tahun ini, terdapat seramai 2,932 orang pelajar tajaan MARA di luar negara dan menurut Majlis itu, United Kingdom mencatatkan jumlah pelajar Malaysia tertinggi, iaitu seramai 902 pelajar, diikuti Australia (372), India (312), Jerman (246), Ireland (225) dan Amerika Syarikat (222).

Sementara itu, di tanah air, MARA telah memaklumkan bahawa sesi pengajian, kuliah dan latihan industri bagi semua institusi pendidikan MARA di seluruh negara iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Universiti Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech MARA, GIATMARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Profesional MARA, Kolej MARA, German-Malaysian Institute, Kolej Unversiti Poly-Tech MARA dan Malaysia-Japan Industrial Institute, akan dihentikan sementara dan diselaraskan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian atau dilaksana secara dalam talian.

Bagi sebarang urusan berkaitan pembayaran, permohonan dan pertanyaan boleh dibuat secara dalam talian di www.mara.gov.my, menghubungi pusat panggilan MARA di talian 03-2613 2000 atau media sosial rasmi MARA.

– BERNAMA


Pengarang :