AGENSISELANGOR

PKP: Kes kecemasan di Selangor turun

SHAH ALAM, 25 MAC: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas dilihat menyumbang kepada penurunan kes kecemasan di negeri ini setakat hari ini, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata antara insiden kecemasan yang sering mendapat perhatian adalah kebakaran kediaman dan ia menunjukkan penurunan daripada 65 kes pada bulan lepas kepada 42 kes setakat ini.

Beliau berkata penurunan tersebut mungkin disebabkan keberadaan penghuni di rumah susulan PKP dan tahap pengawasan yang tinggi terhadap kediaman masing-masing berjaya mengurangkan risiko berlakunya kejadian kebakaran tidak dijangka.

“Kes kecemasan melibatkan khidmat kemanusiaan turut dilihat berlaku penurunan dengan 675 kes direkodkan setakat ini berbanding 886 kes pada bulan lepas. Kes seperti ini yang banyak kami terima adalah bantuan menangkap ular,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Pada masa sama, Hafisham berkata disebabkan banyak perniagaan tidak dibenarkan beroperasi susulan PKP yang kini dilanjutkan pelaksanaannya sehingga 14 April depan, pemilik premis dinasihatkan supaya mematikan suis utama kedai mereka bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

-BERNAMA


Pengarang :