Ketua Cawangan Faedah Ibu Pejabat Perkeso, Ismail Abi Hashim menyerahkan faedah Perkeso kepada Mokhtarudin Mohamad Nor, 43, dan Azrina Mohd Mokhtar di Taman Sungai Kapar indah, Klang pada 13 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Remaja maut nahas, ibu terharu terima faedah bulanan Perkeso

KAPAR, 13 MAC: Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin Klang menyerahkan faedah pengurusan jenazah RM2,000 kepada waris Allahyarham Amirul Aiman Mokhtaruddin, 18, yang maut akibat kemalangan pada 27 Februari lalu.

Ibu bapa kepada arwah iaitu Mokhtarudin Mohamad Nor, 43, dan Azrina Mohd Mokhtar, 43, turut menerima RM630 setiap bulan sebagai faedah orang tanggungan.

Ketua Cawangan Faedah Ibu Pejabat Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata waris layak mendapat faedah tersebut kerana mangsa ditimpa kemalangan sewaktu bekerja.

“Amirul Aiman belum berkahwin jadi Perkeso membayar faedah orang tanggungan kepada kedua ibu bapanya,” katanya selepas penyerahan faedah di kediaman waris di Taman Sungai Kapar Indah di sini hari ini.

Amirul Aiman, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor meninggal dunia kira-kira jam 11 malam apabila motosikal ditungganginya melanggar pokok di Jalan Kapar, Klang.

Anak sulung daripada tiga beradik itu bekerja sambilan di rangkaian makanan segera KFC, Pekan Kapar sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sementara itu, Azrina berkata walaupun faedah diterima tidak dapat mengembalikan nyawa anaknya, namun dia bersyukur kerana Perkeso mengambil berat kes berkenaan.

“Saya terharu dan tidak menyangka Perkeso sediakan faedah ini dan mereka sanggup berkunjung ke rumah. Saya berterima kasih kerana majikan juga mengambil berat dengan kes sebegini,” katanya.


Pengarang :