SELANGOR

Suri rumah perlu bangkit demi hidup sejahtera

SHAH ALAM, 8 MAC: Golongan suri rumah diseru bangkit memberdaya peranan masing-masing demi memastikan kehidupan yang sejahtera, kata pengerusi persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR).

Nurul Huda Ahmad Nawawi berkata artikel Institut Penyelidikan Khazanah mendapati 2.9 juta wanita pada 2018 memilih untuk tidak bekerja kerana bebanan tugas di rumah dan tanggungjawab kepada keluarga.

“Senario itu sama seperti 2014 di mana 32.4  peratus wanita berhenti kerja atas tuntutan anak. Perkara ini tidak seharusnya berlaku sebaliknya pemahaman kepada pembahagian tugasan rumah haruslah seimbang di antara suami dan isteri jika mahu menggalakkan lebih wanita kembali bekerja,”  katanya dalam kenyataan.

Selaras tema Hari Wanita 2020 ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ Nurul Huda yakin suri rumah mampu berperanan seimbang dalam pelbagai aspek dengan pengurusan masa ditambah sistem sokongan kuat.

“Keseimbangan yang cuba kami garapkan adalah menyediakan sistem sokongan meliputi aspek fizikal, mental dan bengkel keyakinan membina potensi, meningkatkan keterampilan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

 


Pengarang :