Kakitangan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA melakukan kerja disinfeksi di seluruh bangunan Terminal 17 pada 24 Mac 2020. Foto ihsan MBSA
PBTSELANGOR

Terminal 17 Shah Alam ditutup bagi kerja nyahkuman

SHAH ALAM, 24 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup operasi Terminal 17 di sini bermula hari ini sehingga esok bagi kerja pembersihan dan sanitasi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata penutupan berdasarkan arahan Agensi Pengangkutan Awam Darat sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

“Bermula 10 pagi tadi, seramai 10 kakitangan MBSA yang diselaraskan oleh staf dari Jabatan Kesihatan Persekitaran melakukan kerja nyahkuman di seluruh terminal khususnya surau, tempat menunggu penumpang, pagar, pintu dan singki.

“Kita amat menitikberatkan kebersihan dan ingin memastikan terminal ini dalam keadaan bersih,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Shahrin berkata pihaknya turut membuka bilik gerakan Covid-19 bagi memudahkan masyarakat setempat mendapat informasi terkini berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bilik gerakan ini dibuka dari 9 pagi hingga 4 petang dan untuk pertanyaan, orang ramai boleh hubungi talian 03-55222702/2800/2821/2820 atau talian am 03-55105133 atau sambungan 1515,” katanya.


Pengarang :