Kerajaan menambah 830 jururawat lantikan secara kontrak bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif Covid-19 semakin ketara sejak minggu lepas. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

2,359 sukarelawan mahu bantu KKM berdepan Covid-19

SHAH ALAM, 1 APRIL: Seramai 2,359 sukarelawan menawarkan diri berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan dalam berdepan penularan wabak Covid-19, kata pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia terdiri daripada 65 pakar perubatan, pegawai perubatan (159), jururawat (909), juru teknologi makmal perubatan (220), penolong pegawai perubatan (704), juru x-ray (106), fisioterapi (56) dan pegawai sains bagi bidang mikrobiologi (70).

“Seramai tujuh orang pegawai farmasi, penolong pegawai farmasi (44), pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (11), dua orang pegawai psikologi dan enam kaunselor.

“KKM sangat menghargai perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dari pelbagai peringkat dalam menangani penularan kejadian Covid-19 di Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya kini dalam perbincangan dengan agensi pusat untuk segera memperhalusi mekanisma lantikan secara kontrak kepada sukarelawan terbabit.

“Mereka yang ingin menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19 boleh berbuat demikian dengan mengisi borang pendaftaran disediakan,” katanya.


Pengarang :