Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor secara percuma di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar puji Saringan Komuniti dilaksanakan Selangor

SHAH ALAM, 21 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha Kerajaan Selangor melaksanakan Saringan Komuniti hingga menemui pesakit positif Covid-19 yang tiada sebarang gejala.

Presiden KEADILAN berkata usaha tambahan tersebut menunjukkan negara tidak boleh selesa dengan angka kes sedia ada kerana dikhuatiri ia lebih tinggi daripada jangkaan.

“Malaysia, Kanada dan Australia lebih kurang mempunyai (jumlah) penduduk sama tetapi keupayaan menguji daripada dua negara itu jauh lebih tinggi. Jadi angka yang diperoleh tentang yang positif Covid-19 tentu lebih tinggi.

“Jadi saya bimbang kalau kerajaan terus dengan angka yang ada, kita tidak dapat kenal pasti apakah ini sebenarnya kedudukan kesihatan atau jangkitan Covid-19 atau tidak.

“Ternyata menerusi usaha tambahan ini dapat kesan ada kes-kes lain yang tidak terjangkau dalam alat saringan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika mengendalikan dialog bersama Menteri Besar Pakatan Harapan (Pakatan) menerusi Facebook hari ini.

Saringan Komuniti pertama yang dilakukan di Hulu Langat pada 11 dan 12 April lalu berjaya menemui lima pesakit positif Covid-19 dengan empat daripadanya tidak mempunyai sebarang gejala.

Kerajaan Negeri menyasarkan untuk menghabiskan 5,000 alat saringan menjelang Khamis ini dengan keutamaan kepada warga emas. Pemeriksaan secara pandu lalu dilakukan secara percuma.

Dalam dialog sama Anwar mencadangkan supaya semua inisiatif ekonomi yang dilakukan di negeri ditadbir Pakatan disebarkan supaya lebih banyak manfaat diperoleh rakyat.


Pengarang :