Suasana kemeriahan Bazaar Ramadan. Sumber: Arkib SelangorKini
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bazar Ramadan konsep ‘pesan dan ambil’ diperhalusi

SHAH ALAM, 15 APRIL: Cadangan beberapa pihak supaya kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan menggunakan konsep pandu lalu serta ‘pesan dan ambil’ akan diteliti, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) berkata setakat ini kerajaan hanya membenarkan pelaksanaan e-Bazar Ramadan, iaitu pesanan secara dalam talian dan penghantaran menggunakan perkhidmatan e-panggilan.

Katanya, kerajaan bimbang jika dua konsep bazar Ramadan itu dibenarkan beroperasi, lebih ramai orang akan mengambil kesempatan untuk keluar sekali gus berlaku pertambahan kenderaan.

“Kita bimbang mereka yang sukar patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ada alasan baharu untuk keluar rumah, ini menyukarkan kawalan polis, sebab itu setakat ini kita cuma setuju e-Bazar Ramadan, cadangan lain akan diperhalusi,” katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini.

Mengenai keputusan Kerajaan Perlis membenarkan peniaga makanan berniaga di rumah dan bahu jalan ketika Ramadan tahun ini, Ismail Sabri berkata perkara itu akan diselaraskan di seluruh negara.

“Saya percaya setelah ada tatacara operasi piawai (SOP) tertentu, kita akan selaraskan antara negeri dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga diminta meneliti perkara ini.

“Walaupun majlis daerah ada kuasa sendiri, tetapi kita akan selaraskan supaya tiada perbezaan antara negeri,” katanya.


Pengarang :