Petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Berpanas cari rumah dengan sut khas bukan halangan pasukan perubatan

KAJANG, 12 APRIL: Pasukan Petugas Gerakan Operasi Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor (Selcare) berdepan situasi mencabar  berikutan mereka perlu memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dalam cuaca terik ketika mencari rumah penduduk yang mahu diperiksa.

SelangorKini yang turut mengikuti saringan besar-besaran dari rumah ke rumah bagi memerangi wabak sejak jam 8 pagi di sekitar sini mendapati doktor dan pembantu perubatan saling memberi kata-kata semangat walaupun usaha mengesan kediaman agak sukar.

Sekalipun penduduk memberi kerjasama baik tetapi cabaran terbesar adalah keadaan cuaca hingga mereka bermandi peluh, malah ada hampir pengsan akibat kepanasan.

Pun begitu, Pegawai Perubatan Dr Nurfitri Putrianti menganggapnya sebagai pengalaman seumur hidup dalam mendepani cabaran berkenaan.

“Memang memenatkan, rasa sangat letih pening kepala tetapi saya seronok kerana dapat membantu masyarakat dan kerajaan. Lebih menggembirakan saya apabila masyarakat juga memberi kerjasama baik kerana tahu pentingnya melakukan ujian Covid-19,” katanya.

Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Ujian itu dilakukan selepas pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menjalankan saringan besar – besaran di zon merah di seluruh Selangor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pegawai perubatan Dr Reenisha Kaur pula gembira kerana saringan rumah ke rumah mendapat kerjasama semua pihak.

“Saya jumpa ramai insan berhati mulia untuk sama-sama memerangi virus ini, tidak kira anda pemandu van, doktor atau jururawat semuanya mahu Covid-19 dihapuskan segera. Langkah Kerajaan Negeri dianggap terbaik kerana kita boleh mengesan pesakit lebih cepat sekali gus mengasingkan mereka pada kadar segera,” katanya.

Sukarelawan, Jesica Sendai Lipa pula menganggap pengalaman menyaring penduduk dari rumah ke rumah tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayat kerana ia amat mencabar berikutan pemakaian PPE panas, apatah lagi cuaca terik.

“Pada awalnya memang saya tak sabar untuk memakainya kerana terasa seperti petugas barisan hadapan namun semua permainan minda sahaja, sekiranya kita kuat semangat dan mengatakan ia pengorbanan untuk negara serta bangsa, pasti dapat ditempuhi dengan baik,” katanya.

Pada 8 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan menjalankan saringan tersebut di zon merah Covid-19 di Selangor.

Seramai 5,000 orang disasar menjalani saringan berkenaan, ujian dari rumah ke rumah itu pertama dijalankan di Malaysia bagi memerangi wabak berkenaan.


Pengarang :