Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

BNM usaha bangunkan kewangan isi rumah, perniagaan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan usaha membangunkan sektor kewangan  progresif dan terangkum untuk isi rumah dan perniagaan pada 2020.

Dalam Laporan Tahunan 2019, BNM berkata ia memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuk mendasarkan hala tuju keutamaan pada masa hadapan dalam menghadapi perubahan pesat melalui pelan induk baharu untuk sektor kewangan.

Selain itu ialah memudahkan pertumbuhan yang mampan dan terangkum melalui pembaharuan struktur dalam sektor insurans, takaful dan institusi kewangan pembangunan.

“Ia termasuk mengolah pengawalseliaan yang mantap untuk pendigitalan dan inovasi dalam perkhidmatan kewangan selain memajukan inisiatif yang meningkatkan impak dan rangkuman kewangan Islam,” kata BNM.

Dalam laporan itu, BNM berkata ia menambah baik strategi rangkuman kewangan untuk menggalakkan daya tahan kewangan dan menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan.

“Ia termasuk menggalakkan program jangkauan, pendidikan dan kesedaran untuk segmen sasaran seperti isi rumah berpendapatan rendah dan perusahaan kecil dan sederhana,” kata BNM.

BNM berkata sektor kewangan memainkan peranan penting dalam membantu pemilikan rumah khususnya bagi pembeli rumah kali pertama.

Pada 2019, lebih 365,000 akaun pembiayaan rumah berjumlah RM158 bilion diluluskan.

“Daripada jumlah ini, lebih 53 peratus pembeli rumah kali pertama dan lebih 100,000 akaun bagi rumah mampu milik berharga kurang daripada RM300,000,” kata BNM.

Bagi melengkapkan pembiayaan oleh industri, BNM menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion pada 2018.

BNM berkata sehingga Jan 2020, dana ini digunakan sepenuhnya sekali gus membolehkan lebih 4,700 isi rumah membeli rumah pertama bersempena Kempen Pemilikan Rumah anjuran kerajaan.

“Meskipun tabung ini sudah digunakan sepenuhnya, pembeli rumah kali pertama masih boleh mempunyai akses kepada pembiayaan daripada sistem perbankan, dengan tujuh daripada 10 permohonan pinjaman perumahan diluluskan oleh bank-bank,” menurut BNM.

– BERNAMA


Pengarang :