Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM, Putrajaya pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua kluster berkait himpunan besar beri impak jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 6 APRIL: Dua kluster Covid-19 yang berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran memberi impak mendadak peningkatan kes wabak, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kluster membabitkan persidangan keagamaan di sebuah gereja di Kuching, Sarawak dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Kedua-dua kluster ini membabitkan jangkitan Covid-19 sehingga generasi kelima. Susulan itu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac bertepatan sekali bagi memutuskan rangkaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Bagaimanapun, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam
memastikan usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 berjaya,” katanya pada sidang media di KKM, Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menyeru masyarakat supaya tidak menyalahkan mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting kita bantu kesan dan rawat jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” katanya lagi.

Dua kluster Covid-19 yang berkait rapat dengan himpunan besar-besaran seperti berikut:

1. Persidangan keagamaan di gereja selama 3 hari yang berlangsung di Kuching, Sarawak. Setakat ini, seramai 83 orang disahkan positif dengan:

• dua kes kematian (kes ke-358 dan kes ke-2471)
• lima (5) kes kritikal di unit rawatan rapi (ICU)
• 50 kes sedang dirawat di hospital
• 25 kes bawah pemerhatian di pusat kuarantin
• Satu (1) kes discaj yang pulih sepenuhnya

2. Majilis perkahwinan di Bandar Baru Bangi yang merupakan satu kluster jangkitan Covid-19 yang membentuk jangkitan sehingga generasi kelima. Sehingga 6 April 2020, 88 kes disahkan positif, termasuk satu kes dirawat di ICU dan tiada kematian.


Pengarang :