BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO mahu ‘hijaukan’ tiga pangsapuri kos rendah

SHAH ALAM, 1 APRIL: Selangor akan melaksanakan projek jaringan hijau di tiga pangsapuri kos rendah terpilih bagi mengindahkan kawasan tersebut, kata EXCO perumahan.

Haniza Mohamed Talha berkata projek perintis bakal dilaksanakan di Flat Taman Industri, Ampang; Flat Taman Kajang Utama, Kajang dan Flat PKNS PJS 2, Petaling Jaya.

“Hasrat saya apabila kajian dan projek ini dibuat, semua penduduk di Selangor termasuk mereka yang tinggal di perumahan kos rendah mempunyai kualiti kehidupan yang baik.

“Jadi, saya sangat berharap projek perintis ini berjaya dilaksanakan dan diperluaskan di tempat lain,” katanya melalui hantaran di Facebook pada 29 Mac lalu.

Beliau berkata perbincangan projek dibuat secara dalam talian membabitkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan beberapa penyelidik dari universiti tempatan.

Pada masa sama, Haniza turut mengakui beberapa projek meningkatkan kualiti kehidupan penduduk sedikit tergendala berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam tempoh PKP, semua pihak perlu mematuhinya dengan mengurangkan pergerakan dan berada di rumah masing-masing, namun urusan berkaitan kerja perlu dibuat supaya tidak tergendala dengan teruk,” katanya lagi.

Projek jaringan hijau merangkumi taman rekreasi dan permainan, kawasan lapang serta penanaman pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan.


Pengarang :