Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor membuat pemeriksaan di kedai runcit bagi memastikan barangan keperluan asas mencukupi. Foto ihsan KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

Gagal pamer tanda harga, peniaga dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kegagalan meletakkan tanda harga pada beberapa barang jualan menyebabkan pemilik sebuah kedai runcit di Tasek Permai, Ampang semalam dikompaun RM1,000.

Ketua pegawai penguat kuasa daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan Kajang berkata jumlah kompaun itu pertama kali dikenakan terhadap peniaga kedai runcit sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum ini, kami hanya mengeluarkan kompaun RM100 kepada peniaga yang gagal meletakkan tanda harga pada barangan harga terkawal, namun tindakan ini (kompaun RM1,000) diambil supaya peniaga tidak ambil ringan perkara ini terutama ketika PKP,” kata Mohd Sani Mohammad Nor dalam kenyataan.

Katanya, kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 3 (1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993.

Sementara itu, Mohd Sani berkata sebanyak 1,472 premis di seluruh kawasan seliaannya diperiksa sepanjang PKP.

“Setiap hari, kami menerima banyak aduan daripada orang membabitkan pelbagai sektor perniagaan.
Daripada keseluruhan pemeriksaan, 29 premis dikompaun dengan nilai keseluruhan RM4,200,” katanya.


Pengarang :