Ambulans dan kenderaan yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia diparkir di kawasan sekatan jalan raya di pintu masuk kawasan Sungai Lui yang dikenakan PKPD bagi membawa penduduk ke Klinik Desa Sungai Lui untuk menjalani ujian saringan Covid-19 pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kawalan diperketatkan di sekolah agama di Sungai Lui sampai 5 Mei

SHAH ALAM, 27 APRIL: Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui di Hulu Langat yang melibatkan sebuah pusat tahfiz dan sebuah rumah disambung sehingga 5 Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun PKPD di Kampung Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor ditamatkan esok.

Pada 29 Mac lalu, kerajaan mengenakan langkah PKPD di Sungai Lui selepas lebih satu perempat daripada penghuni di sebuah sekolah agama dijangkiti wabak berkenaan.

Bagaimanapun, PKPD di sebahagian besar kawasan Sungai Lui ditamatkan pada 14 April lalu kecuali Maahad Tahfiz An Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Paya Lebar dilanjutkan sehingga 28 April.

Sementara itu, kerajaan pada 26 Mac lalu, mengumumkan PKPD dikuatkuasakan di Simpang Renggam susulan 61 kes positif Covid-19 dikesan dari dua lokasi di kawasan berkenaan.

Penamatan PKPD bermakna kawasan tersebut akan diletakkan di bawah PKP sahaja.

Ditanya mengenai kes positif Covid-19 membabitkan peniaga di Pasar Borong Selayang, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

Berhubung dengan isu yang timbul membabitkan warga Rohingya di media sosial baru-baru ini, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata polis sedang menyiasat perkara tersebut.

Beliau meminta rakyat untuk tenang dan tidak memperbesarkan perkara tersebut sehingga menganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam.


Pengarang :