Seorang tukang gunting rambut mengenakan sut perlindungan ketika memotong rambut pelanggan di Bogor, Indonesia pada 6 April 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan tarik balik kebenaran operasi kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan hari ini menarik balik kelulusan membenarkan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendengar pandangan rakyat serta nasihat kumpulan pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Perdana Menteri membuat keputusan bahawa operasi semua premis tersebut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP. Ini sekali gus menjawab segala persoalan yang ditimbulkan rakyat, jadi tidak ada lagi isu kerana ia tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP fasa ketiga bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Bagaimanapun, ia menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial ekoran kebimbangan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di kedai gunting rambut.

Berikutan itu, kerajaan memberi jaminan akan meneliti semula cadangan tersebut dengan mengambil kira pandangan rakyat.


Pengarang :