Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melakukan kerja semburan sanitasi di sekitar kawasan sekatan jalan raya pada 5 April 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Lui Batu 21, Hulu Langat. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 di Hulu Langat meningkat, 1,685 penduduk disaring

SHAH ALAM, 6 APRIL: Jangkitan wabak Covid-19 di Hulu Langat semalam meningkat kepada 328 kes berbanding 314 hari sebelumnya.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, Kampung Sungai Lui kekal dengan 90 kes manakala baki 238 kes dari lokasi lain, meningkat 14 kes berbanding hari sebelumnya.

Seramai 1,685 orang penduduk daripada keseluruhan 1,797 orang disaring ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui sejak 30 Mac lalu.

Pola peningkatan turut ditunjukkan di dua lokasi PKPD Simpang Renggam, Johor dengan pertambahan 12 kes menjadikan jumlah kes positif keseluruhan 147 kes semalam.

Mengikut pecahan mukim, Ulu Benut merekodkan 124 kes, Kluang 18 kes manakala empat di Machap dan satu di Nyior.

Menara One City Plaza Kuala Lumpur pula sebanyak 24 kes direkodkan dengan satu kes luar kawasan selepas 1,893 daripada anggaran 5,000 penduduk disaring.


Pengarang :