Pengerusi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ketatkan PKP di zon merah, longgarkan di kawasan selamat – Dr. Dzulkefly

SHAH ALAM, 9 APRIL: Kerajaan disaran meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengetatkan lagi pelaksanaannya di zon merah manakala beri sedikit kelonggaran di kawasan lebih selamat, kata pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata apa yang penting rakyat di semua kawasan perlu melaksanakan penjarakan sosial dan tidak berpusu-pusu keluar kerana rantaian virus tersebut belum dapat diputuskan.

Katanya, langkah kerajaan melaksanakan PKP sejak 18 Mac lalu adalah sangat tepat dan hasilnya dapat dilihat melalui carta kes positif Covid-19 yang landai setiap hari.

“Bagaimanapun, ia meninggalkan kesan yang sangat parah kepada ekonomi apabila golongan peniaga kecil, usahawan, syarikat korporat dan semua pihak terjejas.

“Justeru, selepas 14 April ini, kita perlu membuat analisis secara tegas dan pantas (bagi meneruskan PKP) dan tidak boleh jika tiba-tiba menghentikan PKP kerana kita belum melihat keluk wabak ini benar-benar landai,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian dalam program Bual Bicara Online, Fakta dan Analisis Covid-19: Fasa Ketiga, Bersediakah Kita yang dihoskan Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Hanif Ahmad hari ini.

Turut menjadi panel ialah Ahli Kluster Penyelidikan IDE, Prof Dr Azami Zahrim.

PKP sepatutnya berakhir 14 April ini tetapi esok kerajaan dijangka mengumumkan sama ada akan meneruskan perintah itu atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly mengesyorkan kerajaan dan syarikat swasta melakukan ujian antibodi kepada semua pekerja dan petugas barisan hadapan bagi mengetahui tahap imuniti masing-masing.

Katanya, jika pekerja yang mempunyai antibodi yang tidak terdedah kepada jangkitan Covid-19, mereka boleh dibenarkan kembali bekerja dan dengan itu kilang dapat beroperasi semula.

“Pekerja sektor swasta dan kerajaan terutama petugas barisan hadapan perlu dikenal pasti kemampuan antibodi mereka, kalau tak silap satu ujian harganya cuma RM18 hingga RM20. Jangan sebab virus ini ekonomi kita runtuh,” katanya.


Pengarang :