Anggota Tentera memeriksa beberapa premis di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 20 April 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Fokus enam kriteria sebelum tamatkan PKP

SHAH ALAM, 21 APRIL : Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan enam kriteria diberi perhatian sebelum negara ini menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua pengarah kesihatannya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merangkumi kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

Beliau berkata kriteria mengawal sempadan antara perkara penting bagi mengekang penularan wabak Covid-19 kerana jika dibiarkan kes pasti akan meningkat.

“Ini kerana jika kita lakukan kawalan sempadan besar kemungkinan mereka yang datang ke Malaysia boleh bawa penyakit tersebut. Contoh 95 warga Malaysia yang baru pulang dari negara luar baru-baru ini mereka didapati positif Covid-19.

“Manakala, kriteria kedua adalah kawalan pergerakan iaitu cuba untuk elakkan jangkitan melalui satu individu kepada individu yang lain iaitu dengan duduk di rumah tetapi jika ada kesesakan atau perhimpunan kebolehjangkitan virus ini akan tinggi,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kriteria seterusnya ialah KKM perlu memastikan sistem kesihatan seperti wad atau unit rawatan rapi cukup sebelum tamatnya tempoh kawalan.

Katanya, kriteria keempat pula adalah melindungi iaitu mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas, orang kelainan upaya atau mereka yang mendapat rawatan kemoterapi juga diberi perhatian.

“Kriteria kelima ialah memastikan rakyat untuk amalkan norma baharu seperti mencuci tangan, amalkan penjarakan sosial dan elakkan berhimpun serta yang terakhir komuniti bantu KKM untuk laksanakan pencegahan Covid-19 dalam kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata strategi itu perlu diamalkan setiap kementerian dan jabatan untuk melihat bagaimana cara itu boleh menamatkan PKP.


Pengarang :