Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM, Putrajaya pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Kajian klinikal rawat Covid-19 dimulakan

PUTRAJAYA, 19 APRIL: Kajian klinikal antarabangsa di bawah ‘Kaji Selidik Solidariti’ bagi menguji empat kaedah dalam merawat Covid-19 akan dimulakan ke atas pesakit dalam negara pada masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sembilan hospital kerajaan akan mengambil bahagian dalam melaksanakan kajian klinikal berkenaan menggunakan kombinasi ubat Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Dr Noor Hisham berkata kesemua hospital ini juga bersedia menerima peserta yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Jelasnya kelulusan penggunaan ubat berkenaan dinilai badan regulatori yang disertai Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan dan Badan Regulatori Farmasi Negara.

“Penilaian dibuat berdasarkan tiga aspek utama merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data dikemukakan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata penyertaan negara dalam kaji selidik sedunia yang diselaras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu dijangka dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya.

Ditanya mengenai kriteria pesakit yang akan menyertai kajian berkenaan, beliau berkata terdapat lima kumpulan pesakit yang akan dilihat.

“Kita akan lihat dari segi, kategori pertama, pesakit tersebut positif tetapi tiada gejala, mungkin kita tak akan masukkan, hanya yang ada gejala (kumpulan kedua) kita akan masukkan.

“Ketiga, ada radang tapi tak memerlukan oksigen, keempat, ada radang dan memerlukan oksigen dan kelima yang datang di peringkat lewat dan perlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Mengenai sama ada Malaysia akan mengikut jejak Amerika Syarikat dalam mengedarkan ‘kit ujian di rumah’ untuk mengesan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata ia bergantung kepada jenis kit.

“Kalau jenis ujian, kita kata kita gunakan teknik antigen, perlukan calitan, jadi mungkin sukar untuk kita laksanakan… besar kemungkinan susah untuk kita ambil sampel, kalau kita ambil sampel tak tepat keputusan pula mungkin negatif sebab tak ada virus di situ.

“Kalau guna kit ujian antibodi mungkin boleh sebab ia menggunakan titisan darah, tetapi antibodi bukan untuk pengesanan virus, ia hanya akan maklumkan sama ada tubuh kita ada antibodi terhadap virus tersebut ,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :