AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB ajak rakyat Selangor bayar zakat secara dalam talian

SHAH ALAM, 25 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengajak rakyat negeri ini memanfaatkan cara mudah pembayaran zakat fitrah menerusi dalam talian.

“Salam Ramadan, mari tunaikan zakat secara dalam talian (online). Kini anda tidak perlu lagi bersusah-susah ke kaunter untuk membayar zakat.

“Cara mudah bayar zakat di fpx.zakatselangor.com.my,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter beliau hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari ditemu bual media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru Sekolah Rendah Agama Selayang Baru Kali Ke-16 pada 7 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan bayaran zakat fitrah boleh dibuat secara dalam talian bermula semalam menerusi laman web, https://fpx.zakatselangor.com.my/v2/.

Katanya, pada portal tersebut, pembayar zakat perlu mengisi maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan pilih jenis zakat.

Selain itu, LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran menerusi sembilan perbankan internet iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank.

Bayaran turut boleh dibuat menerusi Portal MyEg, Pos Online dan aplikasi e-dompet seperti GoPayz dan Boost.

Kadar zakat fitrah yang ditetapkan di Selangor ialah RM7 seorang, ia selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di negeri ini.


Pengarang :