(Gambar hiasan) Kakitangan awam menghadiri Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 anjuran Universiti Selangor di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 11 Oktober 2018. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

IWB cadang agihan wang lebih spesifik, bantu ibu tunggal ketika PKP

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri dicadangkan mengagihkan wang tunai secara lebih spesifik dan bersasar buat golongan ibu tunggal serta keluarga besar yang berdepan masalah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Institut Wanita Berdaya (IWB) berkata strategi tersebut untuk memastikan golongan tersebut tidak memasuki kancah kemiskinan.

“Sebagai contoh, seorang wanita itu bekerja dengan pendapatan M40 tetapi dia mempunyai bilangan isi rumah yang ramai atau ada ahli keluarga dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

“Dia mungkin kehilangan pekerjaan atau terpaksa menutup perniagaan disebabkan Covid-19. Wanita seperti ini perlu dibantu,” kata IWB menerusi cadangan polisi hasil kaji selidik agensi berkenaan.

IWB turut meminta sokongan penjagaan tanggungan terutama kepada wanita yang bekerja di barisan hadapan dan perkhidmatan penting ketika ini.

Langkah itu perlu susulan penutupan sekolah serta pusat asuhan sekali gus membolehkan wanita terus berkerja dan memperoleh pendapatan.

“Sokongan ini perlu melalui pemberian gaji kepada semua pekerja sosial dan kesihatan dengan sama rata dan juga memberikan perhatian yang lebih kepada mereka yang menyediakan perkhidmatan asuhan dan kebajikan kepada warga emas dan kanak-kanak,” kata cadangan IWB.

Pada 27 Mac lau, IWB menjalankan kaji selidik dalam talian selama empat hari membabitkan 442 responden bagi mengetahui kesan PKP dalam kehidupan wanita terutama dalam aspek ekonomi.


Pengarang :