Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita premis penyembelihan dan memproses ayam yang diarahkan tutup kerana tidak mempunyai lesen perniagaan di Jalan Kebun Nenas, Taman Sentosa, Klang, semalam. Foto ihsan MPK
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK tutup tiga premis sembelih, proses ayam haram

SHAH ALAM, 21 APRIL: Tiga premis penyembelihan dan memproses ayam di Jalan Kebun Nenas, Taman Sentosa di Klang yang beroperasi secara haram diarah tutup Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

MPK berkata arahan ke atas ketiga-tiga premis tersebut dikeluarkan selepas siasatan mendapati premis terbabit beroperasi secara haram yang melanggar Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MPK 2007.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin memeriksa
premis penyembelihan dan memproses ayam yang diarahkan tutup kerana didapati tidak mempunyai lesen perniagaan di Jalan Kebun Nenas, Taman Sentosa, Klang, semalam. Foto ihsan MPK

“Pihak Pejabat Tanah Daerah Klang juga akan mengeluarkan notis ceroboh dan alih bangunan kepada pemilik dalam masa terdekat,” katanya di Facebook di sini hari ini.

Rondaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan pelesenan yang diketuai Timbalan Yang Dipertuanya, Elya Marini Darmin turut disertai polis serta pegawai Pejabat Tanah Daerah Klang.

MPK turut menyita tiga premis di Pusat Perniagaan Taman Sri Andalas dan Pandamaran Jaya kerana meletakkan barang perniagaan di laluan kaki lima iaitu kesalahan di bawah Seksyen 46 (1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Timbalan yang dipertua meminta setiap pemilik mematuhi peraturan telah ditetapkan dan sentiasa menjaga kebersihan premis serta tidak membuat halangan di laluan kaki lima premis kedai,” katanya.


Pengarang :