Selangorkini
Dr Daroyah Alwi melawat serta menyerahkan bantuan kepada penyanyi dan pendakwah bebas, Ali XPDC di Rantau Panjang, Klang pada 2 April 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Muka, tangan Ali XPDC melecur, DUN Sementa dapatkan bantuan LZS

SHAH ALAM, 2 APRIL: DUN Sementa akan membantu penyanyi kumpulan rock terkenal XPDC, Ali mendapatkan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas mengalami kemalangan minggu lalu, kata Ahli Dewan Negerinya.

Dr Daroyah Alwi berkata Ali, nama asal Mohd Ali Ismail, 52, melecur pada muka, tangan dan kaki ketika membakar sampah menggunakan petrol di rumahnya memerlukan sumbangan bagi menampung perbelanjaan mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini beliau ada memohon bantuan kepada pihak LZS namun ditolak dan kita akan cuba membantu mendapatkannya sekali lagi kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini Ali tidak dapat bekerja tambahan selepas kemalangan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan bantuan kewangan dan barang keperluan kepada Ali yang tinggal bersama isteri serta lima anak di Kampung Rantau Panjang hari ini.

Dalam perkembangan sama, rakan baik Ali, Salimey Abu Bakar berkata kemalangan dialami Ali menangkis dakwaan beliau kini sakit akibat Covid-19.

Katanya, Ali tidak menghadiri perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling seperti didakwa segelintir pihak kerana ketika itu beliau mengerjakan umrah.


Pengarang :