Anggota polis, tentera dan Rela menutup jalan utama ke kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PKPD: Penduduk Sungai Lui bakal terima keperluan barang basah

SHAH ALAM, 2 APRIL: Penduduk di Sungai Lui, Hulu Langat yang kini berdepan kekurangan bekalan barang basah bakal menerima bantuan tersebut dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berkata bantuan itu susulan penduduk di Batu 21 hingga 24, di situ dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 30 Mac lalu.

“Penduduk kini kehabisan bekalan barang basah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya menghantar bahan makanan asas seperti beras, justeru Kerajaan Negeri bantu mereka.

“Penduduk juga boleh memohon barangan diperlukan daripada ketua kampung sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi Selangorkini, hari ini.

Kerajaan menguatkuasakan PKPD di kawasan itu selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di Batu 23.

Susulan itu, semua penduduk serta pelawat tidak dibenarkan keluar rumah, aktiviti perniagaan dihentikan dan laluan keluar masuk ditutup.


Pengarang :