Sebuah poster menunjukkan tarikh asal Olimpik Tokyo 2020 di stesen kereta api bawah tanah di Tokyo, Jepun pada 30 Mac 2020. Foto AFP
AGENDASUKANKINI

Olimpik 2020: Pindaan tarikh buka ruang atasi cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditunda memberi ruang dan masa secukupnya kepada semua pihak untuk mengatasi pelbagai cabaran yang sedang dihadapi susulan pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya tarikh baharu sukan itu memberi ruang selesa buat semua pihak mengatur semula perancangan program latihan dan pertandingan termasuk proses kelayakan atlet yang tertangguh.

“Saya juga menyambut baik keputusan bahawa atlet yang layak sebelum ini diberi jaminan pengesahan untuk bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut berharap Persekutuan Sukan Antarabangsa dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mencapai kata sepakat bagi memutuskan proses kelayakan adil kepada atlet yang masih belum layak beraksi di temasya sukan berprestij itu.

IOC, IPC, Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan kerajaan Jepun bersetuju untuk menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 pada Julai dan Ogos 2021 selepas satu persidangan telefon pada Isnin.

Tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo 2020 dipinda 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, manakala Sukan Paralimpik Tokyo 2020 diadakan pada 24 Ogos hingga 5 September 2021.

-BERNAMA


Pengarang :