Keadaan banjir kilat yang memasuki rumah seorang penduduk di Kampung Sungai Tua, Gombak pada 26 April 2020. Foto ihsan penduduk Kampung Sungai Tua
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor kesan 30 lokasi banjir kilat di negeri ini

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Selangor mengenal pasti 30 lokasi banjir kilat berdasarkan kejadian hujan lebat dan ribut berpanjangan sejak seminggu lalu, kata EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam.

Ir Izham Hashim berkata kejadian air melimpah berlaku kerana ketidakupayaan sistem saliran sedia ada untuk menampung jumlah hujan yang lebat.

“Memang sudah menjadi kebiasaan jika taburan hujan melebihi 100 milimeter ia akan menyebabkan fenomena banjir kilat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanapun, Izham menjelaskan, ada antara kawasan banjir tersebut sedang dalam proses dibina tebatan banjir tetapi ia lambat siap ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau dan mengambil langkah-langkah tambahan terutamanya penyediaan kolam takungan banjir untuk penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Semalam beberapa lokasi di negeri ini dilanda banjir kilat, ia termasuk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua iaitu Kampung Sungai Kertas, Kampung Sungai Tua Tambahan, Kampung Laksamana, Kampung Nakhoda, Kampung Indian Settlement Batu Caves dan Kampung Arab di Selayang Baru.

SelangorKini pada 23 April lalu melaporkan seluruh daerah di negeri ini diramalkan mengalami cuaca hujan lebat dan ribut petir.


Pengarang :