Seorang penumpang melihat papan informasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020, yang menunjukkan pembatalan penerbangan susulan sekatan perjalanan oleh kerajaan Malaysia berikutan penularan Covid-19. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Talian sokongan psikososial terima 1,059 panggilan

SHAH ALAM, 25 APRIL: Sebanyak 1,059 panggilan diterima menerusi talian sokongan psikososial Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) yang diperkenalkan bulan lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Exco Mercy Malaysia Bahagian Kesihatan Mental dan Pasukan Sokongan Psikososial Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata purata panggilan diterima setiap hari mula meningkat ketika PKP fasa kedua.

Beliau berkata, ketika PKP fasa satu, pihaknya menerima purata 20 hingga 30 panggilan sehari, namun memasuki PKP fasa kedua meningkat kepada 200 hingga 250 panggilan setiap hari.

“Kebanyakan panggilan melibatkan pelbagai jenis kes termasuk yang ingin mendapatkan sokongan dari segi informasi, emosi serta fizikal.

“Ada kes di mana ahli keluarga yang terputus hubungan dan mereka yang tidak dapat pulang berjumpa anak-anak dan ibu bapa.

“Ada juga yang risaukan ibu bapa yang tinggal berseorangan dan mengalami masalah kesihatan yang kronik dan serius,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhubung secara dalam talian dengan orang tersayang bagi mengelakkan diri daripada berasa keseorangan.

Bulan lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Mercy Malaysia menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia.

Semua petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi akibat Covid-19 boleh menghubungi talian 011-6399 6482, 011-6399 4236 atau 03-2935 9935.

Waktu operasi perkhidmatan ini bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari (4.30 petang sepanjang Ramadan).


Pengarang :