AGENDANASIONAL

Waspada ancaman denggi, ambil langkah pencegahan

SHEEDA FATHIL, 21 APRIL: Masyarakat dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan terhadap jangkitan denggi ketika negara kini dilanda wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebersihan persekitaran sama ada di kediaman perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada Aedes.

“Denggi masih menular dalam komuniti kita. Kita sarankan masyarakat buat pembersihan di perumahan dan persekitaran.

“Jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tamat, mereka yang pulang ke pejabat nanti pastikan persekitaran bersih daripada jangkitan atau pembiakan nyamuk di kawasan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, EXCO kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan terdapat 22,180 kes penyakit itu melibatkan 23 kematian sejak Januari hingga 12 April lalu di Selangor.

Dr Siti Mariah berkata lokasi wabak tertinggi denggi setakat ini adalah di Petaling dengan 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709), manakala Sabak Bernam paling rendah iaitu hanya 69 kes.

Malah, beliau berkata negeri itu turut mencatat tujuh kes kematian akibat denggi sepanjang tempoh PKP.


Pengarang :