AGENDANASIONAL

WHO jangka perang hadapi Covid-19 hingga tahun depan – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM 20 APRIL: Malaysia berkemungkinan perlu ‘berperang’ menentang penularan wabak Covid-19 sehingga tahun depan, seperti jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berikutan itu perancangan strategi yang boleh diguna dan diamalkan sehingga tahun depan perlu dirancang dan difikirkan berikutan belum ada vaksin untuk jangkitan Covid-19.

Katanya selain menjalankan ujian terhadap antibodi seperti dicadangkan pakar untuk komuniti, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memantau kewujudan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dalam komuniti yang menentukan kewujudan virus itu.

“Tetapi sekarang kita lihat kes ILI dan SARI semakin berkurangan. Kalau berkurangan, itu satu indikasi baik untuk kita melaksanakan atau merancang tindakan bagi masa depan.

“Apa yang kita dapat lihat daripada kes yang sedang dikaji ialah bagaimana kita dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu mengulas sasaran lanjut dalam PKP fasa ketiga pula, Dr Noor Hisham berkata kementerian berazam menurunkan kadar kebolehjangkitan kepada sekitar 500 hingga 1,000 kes.

“Jika sasaran itu mampu dicapai, beliau berkata, perkhidmatan rawatan di hospital dapat ditumpukan kepada kluster lain yang berupaya mencetuskan peningkatan kadar kebolehjangkitan.

“Sekiranya tiada kes positif dalam komuniti, kita boleh mengurangkan penularan Covid-19,” katanya.


Pengarang :