Seorang penganut buddha melakukan upacara keagamaan di luar pintu di hadapan kuil sempena Hari Wesak dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ketika tinjauan di Rumah Ibadat Buddha Thai Chetawan di Jalan Gasing pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

174 rumah ibadat zon hijau dibenar operasi 10 Jun

SHAH ALAM, 22 MEI: Sebanyak 174 rumah ibadat bukan Islam di kawasan zon hijau akan dibuka bermula 10 Jun ini.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui kenyataan berkata keputusan dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara mempersetujui tatacara operasi piawaian (SOP) yang dibentangkan Menteri KPN, Datuk Halimah Mohamed Saddiq dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri semalam.

“Hanya 30 individu dibenarkan berada dalam rumah ibadat itu tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat.

“Bagi urusan seperti perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan sehingga 31 Julai manakala pengurusan kematian di rumah pula hanya dibenarkan tidak melebihi 20 orang, tertakluk kepada saiz keluasan rumah dan tiada upacara untuk memberi penghormatan terakhir,” katanya.

KPN berkata, ahli jawatan kuasa rumah ibadat berkenaan harus memastikan semua penganut agama faham dan patuh kepada garis panduan.

Katanya, penganut bergejala demam, batuk, sesak nafas dan selesema serta berusia lebih 70 tahun dan kurang 12 tahun tidak dibenarkan hadir selain pesakit kencing manis, kanser dan sebagainya juga tidak digalakkan hadir. Penanda jarak satu meter wajib diletakkan di lantai.

“Kebenaran beroperasi akan ditarik balik serta-merta jika gagal mematuhi SOP. Kementerian melalui Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau perkara ini,” katanya.


Pengarang :