AGENDANASIONAL

Akta 333 diteliti semula, hukuman berat pemandu sebabkan kematian

PUTRAJAYA, 4 MEI: Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan diteliti semula supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya lain dikenakan hukuman lebih berat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta meneliti semula akta tersebut, yang turut membabitkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk polis, Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Pada masa sama, katanya, Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman memabukkan, atau dadah, atau dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan juga akan diteliti.

Ketika ini, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan berkaitan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mana-mana orang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

-BERNAMA


Pengarang :