Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Audio buktikan Anwar sabar, tidak rebut jawatan PM

SHAH ALAM, 21 MEI: Rakaman audio mesyuarat Pakatan Harapan (PAKATAN) yang tersebar di media sosial menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berebut jawatan perdana menteri.

Presiden KEADILAN berkata beliau memilih untuk bersabar kerana tidak mahu berbalah walaupun wujud cubaan menggagalkan peralihan kuasa ke jawatan berkenaan.

Ahli parlimen Port Dickson berkata beliau kekal dengan keputusan itu sekalipun pemimpin Amanah dan DAP membuat desakan supaya tarikh peralihan kuasa ditetapkan.

“Apabila PAKATAN menang pilihan raya, mereka minta saya tunggu setahun untuk serah jawatan perdana menteri, selepas itu tunda pula selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan kemudian mereka mahu serah selepas tiga tahun pula.

“Akhirnya saya katakan jika tidak mahu tetap tarikh tidak mengapa, terpulang hendak serah jawatan bila-bila pun boleh. Jadi, Dr Mahathir sambut kenyataan saya tetapi beliau bukan hendak bagi tarikh.

“Sebaliknya Dr Mahathir berkata terpulang kepada saya bila mahu jawatan perdana menteri, sehari sebelum pilihan raya umum pun boleh,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Anwar turut mengesahkan kesahihan rakaman tersebut adalah mesyuarat pemimpin PAKATAN yang dihadirinya di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Rakaman bertajuk ‘Pendedahan Eksklusif Mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari 2020’ tular selepas ia dimuat naik di Facebook Bersatu sokong Tun Mahathir.


Pengarang :